Rondaan Tiga Negara Di Selatan Filipina Bulan Ini


SINGAPURA – Malaysia, Filipina dan Indonesia akan melancarkan rondaan laut secara bersama di perairan wilayah Mindanao bulan ini bagi menghakis sebarang ancaman daripada kumpulan militan Daesh yang dipercayai mahu mewujudkan sistem khalifah di Asia Tenggara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar) berkata, rondaan secara bersama di perairan yang bersempadan dengan tiga negara itu akan bermula pada 19 Jun ini de­ngan rondaan udara dimulakan tidak lama kemudian.

“Jika anda bercakap tentang Selat Sulu, ia melibatkan Malaysia, Indonesia dan Filipina.

“Justeru dalam kalangan ASEAN, kami memutuskan sekurang-kurangnya tiga buah negara ini akan mengelak daripada dakwaan tidak berbuat apa-apa dan ketiga-tiga daripada kami mengambil inisiatif melakukan rondaan bersama di Selat Sulu,” katanya di sini semalam.

Hishammuddin membuat kenyataan itu semasa meng­hadiri persidangan keselamatan di Singapura ketika tentera Filipina terus meme­rangi kumpulan militan Maute, rangkaian militan Daesh yang menyerang bandar Marawi di Mindanao, dua minggu lalu.

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte menguatkuasakan undang-undang tentera di Mindanao susulan konflik bersenjata itu dengan menyifatkan serangan ke atas Marawi adalah permulaan satu kempen besar-besaran oleh Daesh untuk bertapak di Filipina.

Menurut penganalisis ke­selamatan, Daesh merancang untuk mewujudkan sebuah wilayah di selatan pulau Min­danao sebagai usaha mereka mewujudkan sistem khalifah di Asia Tenggara.

Hishammuddin berkata, Malaysia, Indonesia dan Si­ngapura telah berjaya mengadakan rondaan secara ber­­sama di perairan Selat Melaka yang bersempadan de­ngan negara masing-ma­sing bagi memerangi aktiviti lanun.

Pada masa sama, Hishammuddin dan menteri-menteri pertahanan ASEAN lain yang berucap dalam persidangan itu memberi amaran tentang ancaman yang boleh dibawa anggota militan Daesh yang berperang di Iraq dan Syria sekembalinya mereka ke negara-negara masing selepas kumpulan terbabit kehilangan banyak wilayah yang dikuasai mereka di kedua-dua negara terbabit.

“Ini kemudiannya membangkitkan prospek yang kurang disenangi iaitu rantau Asia Pasifik kini menjadi tumpuan Daesh,” katanya.

Tegas beliau, ancaman itu adalah benar dan dalam pelbagai bentuk sama ada daripada anggota yang balik dari medan perang, francais serantau kumpulan itu dan penyerang yang bertindak sendirian. – AFP