Rumah Pekerja Terbakar Akibat 70 Penghuni Hilang Tempat Tinggal


MIRI - Hasrat satu keluarga untuk mendiami rumah pekerja di sebuah kilang kayu di Kuala Baram di sini, tidak kesampaian apabila kediaman itu musnah terbakar pagi ini.

Malah, kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi itu turut mengakibatkan 70 penghuni lain yang mendiami rumah pekerja dua tingkat diperbuat daripada kayu terbabit hilang tempat tinggal.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kion berkata, 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng diketuai Terry Robson bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima laporan tentang kejadian itu pada pukul 6.33 pagi.

“Tiba di tempat kejadian pada pukul 7.21 pagi, pasukan penyelamat segera memadamkan api yang sedang marak membakar rumah pekerja berkenaan.

“Sebanyak 48 bilik terdapat di bangunan itu musnah terbakar, manakala enam lagi sempat diselamatkan ,” katanya ketika dihubungi pagi ini.

Beliau berkata, api berjaya dikawal pada pukul 7.39 pagi dan siasatan awal mendapati api mula merebak dari sebuah bilik yang baru dibina untuk didiami oleh keluarga baharu yang bekerja di kilang berkenaan.

Sumber : Mstar Online