KUALA KEDAH - Sebuah keluarga di Kampung Madrasah, di sini, mendakwa terpaksa hidup dalam ketakutan akibat kediaman mereka kerap dimasuki haiwan berbisa, terutamanya ular.
Suriani Said, 35, berkata, kediaman pusaka lebih 50 tahun dihuni mereka enam beranak kerap dimasuki ular kerana keadaan rumah makin usang dimamah usia.
"Selain bumbung rumah dah bocor, bahagian dinding dan alang rumah juga dah reput dimakan anai-anai. Ini tunggu masa nak roboh saja.
"Bilik air lama dah roboh. Dapur dah jadi bilik air, bilik tidur jadi dapur. Kami anak beranak terpaksa tidur di ruang tamu," katanya.
Lebih membimbangkan katanya, tingkap kediaman mereka rosak dan menyebabkan ia terbuka sepanjang masa dengan ditutupi kain rentang semata-mata.
"Dah beberapa kali ular masuk ikut tingkap yang terbuka dan sembunyi dalam baju.
"Bila pakai rasa sejuk-sejuk, rupanya ular. Nasib baik tak ada apa-apa," katanya.
Menurutnya, mereka sememangnya berhasrat membaiki kerosakan kediaman sendiri, bagaimanapun pendapatan suami tidak mencukupi demi merealisasikan hasrat itu.
Katanya, pendapatan suami, Mohd Shukor Omar, 41, sekitar RM600 sebulan lepas ditolak hutang hanya cukup-cukup menyara mereka anak beranak makan dan menampung perbelanjaan empat anaknya berusia 8 hingga 15 tahun yang bersekolah.
“Walaupun kak ada pinjam ah long, tapi wang itu hanya cukup untuk tampung duit beli barang sekolah anak awal tahun dulu," katanya.
Tambahnya, wang diperoleh hasil jualan kecil-kecilan di hadapan rumah hanya untuk membayar semula wang ah long, dan tidak cukup untuk membaiki rumah.
"Saya bimbang keselamatan dan keselesaan anak-anak. Rumah dah tak selamat nak duduk. "Saya harap mana-mana pihak dapat bantu baik pulih rumah ini," katanya.
Sumber: Sinar Harian