Rumah Usang, Tujuh Beranak Terpaksa Berhimpit Di Beranda

 

JOHOR BAHRU - “Nak tak nak kami tujuh beranak memang tiada pilihan lain,” kata ibu tunggal, Rugayah Unus, 54, yang mendiami rumah usang dan menunggu masa untuk menyembah bumi di Sungai Tiram, Ulu Tiram di sini.

Rugayah tinggal bersama dua anak perempuan, menantu serta dua cucu dalam keadaan serba kekurangan dan tidak selesa kerana keadaannya yang uzur.

Katanya, bumbung rumah yang bocor menyebabkan mereka sekeluarga tidur dalam kebasahan ketika hujan pada waktu malam.

“Kadang-kadang kami berhimpit di beranda rumah untuk mengelak dibasahi hujan. Nak buat macam mana ini sahaja pilihan yang kami ada,” katanya.

Menurut Rugayah, dia dan anak serta menantu mengambil upah mengupas bawang dengan bayaran RM20 seguni dan pendapatan itu tidak mencukupi untuk menampung kos membaiki rumah.

Sumber: Metro