Saat Hidayah Menyapa Selepas 30 Tahun Bergelumang Noda


SHAH ALAM - Melihat kepada zahirnya, siapa sangka lelaki berusia 54 tahun ini bekas mak nyah popular satu ketika dulu.

Rohaizad Abdul Rahman yang dulunya popular dengan nama Lydia Mazuin Rohaizad kembali ke pangkal jalan selepas lebih 30 tahun bergelumang dengan dunia penuh dengan noda.

Mengimbau kembali peristiwa hitam itu, Rohaizad berkata, kehidupannya tidak lari dengan seks bebas, malah dia seperti hilang arah dan tenggelam dalam kemaksiatan.

Bagaimanapun, empat tahun lalu dia menerima hidayah dan tergerak hati kembali ke pangkal jalan menjalani fitrah hidup sebagai lelaki.

“Dulu saya memang popular dalam kalangan mak nyah dan pelanggan, malah saya pernah dipanggil berlakon. Ketika itu, pendapatan saya mencecah ribuan ringgit.

“Saya sanggup mengambil hormon membentuk payudara dan ketika itu langsung tidak memikirkan soal dosa pahala kerana keseronokan dicari selain mampu mendapatkan wang dengan mudah apabila membuat kerja sampingan pada waktu malam melayan lelaki yang ingin mendapatkan khidmat mak nyah.

“Namun, semua itu sudah menjadi satu sejarah dan Alhamdulillah, dengan adanya bimbingan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), akhirnya saya berjaya melawan nafsu dan meninggalkan dunia mak nyah,” katanya.

Menurut Rohaizad, saat hidayah menyapa dirinya, dia tidak henti mengalirkan air mata keinsafan seperti ada perasaan lain di dalam diri.

“Selepas itu saya terus menggunting rambut pendek dan kemuncaknya saya belajar semula ilmu agama yang jauh saya tinggalkan.

“Alhamdulillah, walaupun pernah tidak diterima keluarga satu ketika dulu, kini mereka kembali menerima dan melayan saya dengan baik, malah rakan yang turut sama ingin berubah turut diberi dorongan dan nasihat,” katanya.

Katanya, bimbingan serta kaunseling yang diberikan oleh MAIS kepada golongan sepertinya banyak membantu dan memberikan sinar untuk kekal berubah.

“Hidup saya kini lebih tenang, cuma satu yang ingin saya kongsi, golongan seperti kami sebenarnya ingin berubah, namun persepsi negatif segelintir masyarakat membuatkan niat kami terbantut.

“Dengan tertubuhnya Rumah Usrah Fitrah dinaungi MAIS, kami diberi kaunseling, diajar ilmu agama yang lama ditinggalkan serta dilindungi supaya tidak diancam pengaruh luar,” katanya.

Rohaizad kini Pengerusi Rumah Usrah Fitrah yang menghimpunkan lebih 40 lelaki berperwatakan wanita yang ingin pulang ke pangkal jalan.

Sumber : MyMetro