Saharul Ridzwan Berdebar Tunggu Kelahiran Bayi


KUALA LUMPUR - Lebih 10 jam isteri kepada Saharul Ridzwan, 28, dimasukkan ke dalam wad bersalin, pelakon tersebut mengakui perasaannya berdebar-debar menanti detik bayinya dilahirkan.

Melihat status bergambar yang dimuat naik di laman Instagram miliknya malam kelmarin, kelihatan Saharul setia menemani isterinya di hospital berkenaan bagi menyambut kehadiran orang baharu dalam keluarga mereka.

“Bismillahirrahmanirrahim. Semoga Allah dan para malaikat bersama-sama isteri saya dan diberikan kekuatan kepada isteri untuk berjihad lahirkan anak kami nanti.

“Doakanlah isteri dan anak saya berada dalam keadaan baik-baik. Maafkanlah segala dosa, salah silap kami semua. Terima kasih,” memetik kapsyen yang disertakan klip video Saharul mengusap tangan isterinya, Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir.

Tambah pelakon siri Arluna itu, apabila melalui sendiri pengalaman tersebut sebagai bakal bapa, lain yang dirasakannya berbanding sebelum ini melihat pengalaman ahli keluarga dan rakannya.

Saharul dan Qaabila bernikah pada 16 September tahun lalu selepas sekian lama saling mengenali.

Sumber : Utusan Online