PUTRAJAYA - Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Saik Keruak berharap rakyat Malaysia akan meraikan Syawal dalam suasana aman dan bermaaf-maafan, bukan sahaja untuk kebaikan ummah tetapi juga untuk kebaikan semua rakyat Malaysia.
Dalam mesej Aidilfitri beliau, Salleh berkata adalah malang apabila tidak semua umat Islam memahami semangat Ramadan dan Syawal, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.
Konflik dan permusuhan masih berterusan dan membiarkan ego, kebencian dan kemarahan menguasai pertimbangan kita.
Ini bukan ajaran Islam dan bukan pengertian sebenar Ramadan dan Syawal. Jadi marilah kita sama-sama meraikan Syawal sebagai hari keamanan dan saling memaafkan, katanya dalam catatan di blog beliau, sskeruak.blogspot.my.
Salleh berkata bulan suci Ramadan adalah peluang bagi semua umat Islam menahan diri dan bermuhasabah.
"Ramadan melatih kita agar menahan nafsu dan keinginan kita, membuang keangkuhan dan kemarahan, mempamerkan kerendahan hati, memupuk perasaan belas kasihan dan mengasihi sesama insan, serta peluang untuk bermuhasabah.
Umat Islam yang berpuasa sepatutnya bertafakur atau muraqabah, katanya.
Salleh berkata hari pertama Syawal adalah hari meraikan kemenangan selepas berjaya menempuh bulan Ramadan -- kemenangan atas diri kita atau jihad kecil.
Semasa Ramadan kita bukan hanya mengawal diri daripada makan, minum dan merokok, tetapi juga daripada menyakiti orang lain dari segi fizikal, secara lisan atau emosi.
Syawal adalah hari kita memohon dan memberi kemaafan atas kesilapan yang dilakukan, secara sengaja atau sebaliknya, katanya. - BERNAMA