Sanggup Bergadai Nyawa Menyelam Cari Mayat Adik

 

KUALA LUMPUR - Demi mencari adiknya yang dihanyutkan dalam banjir kilat di Hulu Langat Sabtu lepas, Sungai , tiga beradik sanggup bergadai nyawa dengan menyelam di sungai dan mencari mayat saudara mereka Taufik Alias, 24, semalam.

Abang sulung arwah, Khaidirratul Alias, 28, berkata beliau bersama dua adiknya yang lain iaitu Mustakim Alias, 26, dan Khusairy Alias, 20, disertai empat lagi rakan mereka membina rakit sendiri untuk digunakan bagi mencari Taufik yang hilang di sungai berhampiran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua, Hulu Langat selepas dihanyutkan arus banjir yang deras.

"Kami menyelam dengan membawa rakit yang dibina menggunakan pelampung untuk mencari Taufik di setiap dasar sungai bermula pukul 12 tengah hari (semalam).

"Setelah sejam 30 minit kami bertukar giliran menyelam (dengan hanya menggunakan gogal) dan berehat di atas rakit itu, akhirnya luluh hati kami apabila menemui mayat Taufik tersangkut pada pohon kayu dengan kepalanya tenggelam dalam air manakala kakinya terapung," katanya di sini hari ini.

Khaidirratul berkata mereka segera membawa mayat Taufik yang ditemui di Sungai Tanjung Niah, Hulu Langat setelah tiga hari dihanyutkan arus sungai itu menaiki rakit sehingga ke tebing sungai sebelum dilaporkan kepada polis.

Mayat Taufik yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik itu kemudian dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Impian Langat malam tadi.

Beliau berkata mereka nekad untuk menyelam dan menggunakan rakit bagi mencari Taufik pada hari ketiga berikutan usaha mencari yang dilakukan mereka melalui jalan darat tidak berjaya menemukan adik ketiganya itu.

Katanya, ketika kejadian pada Sabtu lepas, Taufik yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) sedang dalam perjalanan ke rumah di Kampung Dusun Nanding setelah pulang dari kerja di kebun milik keluarganya di Sungai Lui untuk berbuka puasa.

Khaidirratul berkata Taufik mengalami gangguan mental selepas kemalangan beberapa tahun lalu keluar rumah pada pukul 10 pagi dan disedari hilang setelah tidak pulang ke rumah dan sehingga rakaman video menunjukkan Taufik dihanyutkan air sungai dengan memakai topi keledar tersebar.

Beliau berkata rakan mereka yang berada berhampiran Taufik ketika kejadian memberitahu arwah tidak dapat menyelamatkan diri kerana arus sungai yang deras setelah terjatuh ke dalam sungai berkenaan ketika menunggang motosikal.

Sabtu lepas, satu rakaman video berdurasi 44 saat tular di laman sosial dan menunjukkan mangsa yang kelihatan terkapai-kapai dibawa arus ke arah Sungai Serai, sambil beberapa penduduk di kawasan berhampiran menjerit dan mengarahkannya menuju ke tebing sungai.

Mangsa dipercayai terjatuh ke sungai berkenaan ketika menunggang motosikal. - Bernama