KUALA LUMPUR – Bagi menyelesaikan kemelut keluar parti yang dihadapi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kini, parti itu mengambil keputusan untuk menubuhkan Lembaga Disiplin.
Menurut Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, langkah itu bertujuan untuk memudahkan perjalanan parti secara teratur melibatkan disiplin ahli parti.serta mengelakkan lebih banyak kemelut berlaku dalam parti itu kelak.
“Tan Sri Sanusi Junid telah bersetuju dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin. Tujuan untuk menentukan supaya perjalanan parti ini dapat dilaksanakan secara berperaturan,” katanya.
Katanya, kewujudan lembaga displin berkenaan adalah untuk menyiasat dan menentukan tindakan boleh diambil terhadap ahli parti yang melanggar disiplin.
Dipercayai ia bagi mengekang tindakan ahli mempersoalkan kepimpinan di peringkat nasional sebagaimana yang berlaku di PPBM Perak baru-baru ini yang menyaksikan lebih 1,000 ahlinya bertindak keluar parti.
Lembaga disiplin berkenaan akan menggariskan peraturan dan mengubal tata etika ahli parti mengenai peranan dan tanggungjawab sebagai ahli.
“Setelah melantik pengerusi, kita akan adakan peraturan lembaga disiplin untuk latikan ahli lembaga, tempoh pegang jawatan, bidang tugas dan hal pentadbiran, pengerusi panel rayuan akan dilantik untuk mendengar mana-mana pihak yang mahu merayu, juga tindakan disiplin perlu diambil sesuai dengan hukuman.
“Sama ada mereka akan dibebaskan, diberi amaran digantung keahlian atau dipecat dari parti. Ini penting supaya tindakan disiplin itu adil dan tidak berat sebelah tidak dibuat sesuka hati,” katanya lagi.
Sumber : MalaysiaGazette