Saran Supaya Bekukan Akaun Pihak Disiasat RCI


KUALA LUMPUR – Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) menyarankan kerajaan membekukan akaun pihak yang disiasat berhubung skandal pertukaran mata wang asing (Forex) sekitar tahun 1980-an dan 1990-an.

Presidennya, Ramesh Rao Krishnan Naidu berkata, kerajaan turut disaran menyekat individu terbabit daripada meninggalkan negara ini bagi memastikan siasatan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berjalan lancar.

“Pihak-pihak berkaitan mungkin mengambil keputusan ke luar negara untuk mengelak disiasat.

“Selain itu akaun-akaun tertentu yang mungkin ada kaitan dengan skandal berkenaan dibekukan supaya bukti itu tidak diubah atau dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.


Kata Ramesh Rao, rakyat berterima kasih kepada kerajaan kerana mendengar hak mereka untuk mengetahui hal sebenar berhubung skandal tersebut yang telah lama berlaku.

“Saya difahamkan laporan Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan sebelum ini mendapati kerugian yang berlaku adalah lebih besar daripada yang dilaporkan kepada Kabinet sebelum ini.

“Berapa kerugian yang dialami oleh Bank Negara mesti disiasat dengan sepenuhnya dan laporan itu nanti kita bentangkan untuk pengetahuan rakyat,” katanya. – Kedahnews.com