"Saya Redha, Tak Tahan Lihat Dia Merintih Tanggung Kesakitan" - Bazli UNIC


PENYANYI nasyid UNIC, Bazli Hazwan Osman menyatakan dia reda dengan pemergian anak sulungnya, Muhammad Syahid ke rahmatullah, pagi semalam.

Menurut pemenang program Gema Gegar Vaganza (GGV) bersama kumpulan UNIC ini, sejak dua tiga hari lalu, kesihatan anaknya dilaporkan semakin merosot dan sering merintih kesakitan.

“Saya reda dengan pemergian Syahid kerana sebagai bapa, saya tak tahan melihat dia merintih menanggung kesakitan.

“Walaupun saya dan isteri sedih dengan pemergiannya, namun kami reda dengan ketentuan Allah SWT dan dia adalah anak syurga yang akan menanti kami di sana nanti,” katanya, memetik laporan Harian Metro.

Muhammad Syahid disahkan menghidap barah tahap ketiga selepas mengalami bengkak kecil pada bahagian leher, ketiak dan paru-paru pada Disember lalu.

Allahyarham merupakan anak pertama daripada dua cahaya mata hasil perkongsian hidup antara Bazli, 33, dengan isterinya, Asiah Abu Bakar.

Seorang lagi anaknya, Muhammad Assfan kini berusia sembilan bulan.

Allahyarham Syahid, 3 tahun, dilaporkan meninggal dunia kerana menderita menghidap barah lymphoma, kira-kira pukul 7.23 pagi tadi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Jenazah telah dikebumikan Tanah Perkuburan Masjid Jamiul Ehsan, Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh, selepas Zohor. –Kedahnews.com