LARKIN - Beraksi di bulan Ramadan tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk skuad Harimau Malaysia gagal mempamerkan persembahan terbaik ketika bertemu Lubnan, malam Selasa.
Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada berkata ini kerana selain Malaysia, rata-rata pemain Lubnan juga beragama Islam, jadi isu tersebut tidak sepatutnya timbul.
"Saya akui tahap kecergasan pemain menurun pada 15 minit terakhir, mungkin beraksi pada bulan Ramadan menjadikan keadaan sedikit berbeza," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan di Larkin, awal pagi Rabu.
Pada masa sama, Vingada berkata beliau hairan dan terpegun dengan aksi lincah pemain Lubnan yang tampil melakukan serangan balas pada saat-saat akhir.
"Sudah tentu, pemain Lubnan juga beragama Islam tapi saya tak tahu apa makanan yang mereka ambil untuk kekal cergas," katanya.
Namun, pengendali dari Portugal itu enggan terlalu ambil pusing mengenai perkara tersebut.
Sebaliknya beliau mahu pemain lebih fokus dan berusaha keras untuk memastikan Malaysia kekal dalam saingan menjelang perlawanan menentang Hong Kong, 5 September depan di Larkin.
"Kita sudah melepaskan peluang terbaik jadi pemain perlu bangkit kerana ia aksi paling penting. Saya percaya keputusan akan lebih baik pada perlawanan itu nanti," katanya.
Meskipun kalah tipis, Vingada berkata pemain tetap menyarung jersi Harimau Malaya dengan penuh bangga.
"Saya akur dengan kekalahan ini tetapi saya percaya harapan untuk kita bangkit tetap ada. Kita akan memperkukuhkan pasukan untuk memastikan terus kekal dalam saingan ini," katanya.
Sumber : Mstar Online