Scha Al-Yahya "Mengidam" Cahaya Mata Kedua



KUALA LUMPUR - Pelakon Scha Al-Yahya yang meraikan ulang tahun kelahiran ke-34 semalam tidak menolak seandainya dia dan suami, Awal Ashaari dikurniakan rezeki cahaya mata kedua.

 Kata Scha, pada masa ini, dia dan Awal sedang berusaha untuk mendapatkan anak kedua yang sekali gus adik buat Lara Alana.

“Insya-Allah kami memang merancang (kelahiran kedua) dan kami sedang berusaha ke arah itu,” katanya.

Pasangan romantis itu merupakan ibu dan ayah kepada si cilik yang sangat popular, Lara Alana yang lahir pada 2014.

Tiga beranak itu merupakan selebriti yang sentiasa menjadi tumpuan dalam kalangan netizen ekoran penampilan mereka yang sangat elegan setiap kali muncul dalam mana-mana acara hiburan.

Sementara itu, majlis ulang tahun Scha semalam diraikan dalam suasana penuh meriah dengan dihadiri rakan-rakan terdekat.

Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya berkata, majlis tersebut merupakan kejutan yang dibuat oleh suami tercinta, Awal.

Pun begitu, Scha mengakui kejutan yang dirancang itu tidak menjadi kerana dia merupakan seorang yang kurang gemar dengan kejutan.

Lantaran itu, setiap kali acara kejutan dianjurkan buatnya, Scha pasti dapat mengesan awal-awal lagi.

“Majlis tersebut pada awalnya dirancang oleh Awal dan kawan-kawan rapat kami. Saya tidak menjangkakan sebuah majlis yang meriah kerana saya cuma minta Awal sediakan pulut kuning sahaja sempena ulang tahun kelahiran saya.

“Apabila Dynas Mokhtar dan seorang kawan lagi mengajak saya makan malam bertemakan kebaya, saya sudah dapat mengagak ia pasti kejutan untuk saya.

“Apa pun, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan majlis sambutan hari jadi saya,” ujar Scha lagi.

Dalam pada itu, Scha juga tidak putus-putus mengucapkan syukur di atas segala kejayaan dan kebahagiaan yang diperolehnya pada usia 34 tahun.

“Alhamdulillah saya gembira. Saya tak ada segalanya tapi saya bersyukur dengan apa yang saya ada. Saya harap saya sentiasa ingat di mana saya, dari mana saya datang dan dapat praktikkan benda yang sama kepada anak saya.

“Sempena genap 34 tahun, saya harap saya dapat jadi wanita yang lebih baik dan dalam masa yang sama dapat memberi inspirasi kepada wanita di luar sana,” jelasnya.

Sumber: Utusan