KUALA TERENGGANU - Pengalaman menyambut Aidilfitri bagi umat Islam Malaysia yang sudah lama berada di perantauan sudah pasti berbeza pada mereka yang pertama kali merasainya.
Bukan sahaja perlu menyambutnya dalam keadaan berjauhan dari anggota keluarga tercinta tetapi mereka juga merasai suasana, juadah dan tradisi yang 99 peratus berbeza di tanah air sendiri buat pertama kalinya dalam hidup mereka.
Bagi Siti Aisyah Mohd Yusoff, 34, yang berhijrah ke bumi Makkah, Arab Saudi sejak enam bulan lalu, banyak perbezaan dan cabaran yang perlu ditempuhi di tempat tinggal yang baharu ini berbanding di tanah air terutama ketika bulan Ramadan dan Syawal.
Siti, yang juga penjawat awam di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah kini mengambil cuti tanpa gaji kerana mengikut suaminya yang bertugas dengan perkhidmatan keretapi Al-Mashaer Al-Mugaddasah Metro Southern Line bagi kegunaan jemaah haji.
“Memang saya, suami Shahazli dan tiga orang anak kami sangat teruja dapat menunaikan solat sunat Syawal di Masjidil Haram, Alhamdulillah. Perasaan itu sungguh indah dan tidak tergambarkan.
“Tanyalah mana-mana umat Islam yang pernah menunaikan ibadah haji atau umrah, menunaikan solat fardu atau solat sunat di Masjidil Haram memang saat yang ditunggu-tunggu kerana bukan sahaja kita dijanji oleh Allah ganjaran pahala yang berganda-ganda berbanding menunaikannya di masjid-masjid biasa atau di rumah.
“Tetapi juga dapat menunaikannya bersama-sama dengan jutaan umat Islam dari seluruh pelusuk dunia, dan diimamkan oleh imam-imam yang mempunyai nama besar dalam kalangan dunia Islam, itu perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, “ katanya ketika dihubungi Bernama menerusi aplikasi WhatsApp.
Paling istimewa, semenjak tinggal di Makkah juga beliau dan keluarganya sangat bertuah kerana dapat menunaikan ibadah umrah seminggu sekali.
Bagaimanapun katanya, mengulas mengenai sambutan Aidilfitri, Siti berkata ia hanya disambut secara sederhana oleh masyarakat Arab di Makkah dan tidak semeriah di tanah air.
Pakaian bagi wanita juga tidak berwarna-warni dan pelbagai corak kerana mereka di sana lebih ramai mengenakan abaya (jubah) berwarna hitam.
Ini sudah pasti membuatkan beliau merindukan tradisi yang diamalkan umat Islam sejak sekian lama di tanah air.
“Memang kalau diikut saya ini seorang yang ‘adventurous’ dan suka menyelami kepelbagaian budaya, jadi Alhamdulillah walaupun rindu suasana di Malaysia namun suasana di sini tidak kurang istimewanya,” katanya.
Paling dirindui katanya adalah saat mengunjungi sanak-saudara, bergambar kenangan bersama sanak saudara dengan pakaian yang pelbagai warna tema dan gaya dan juadah hari raya seperti ketupat, rendang, nasi impit dan kuah kacang.
Siti hanya menyediakan sendiri juadah tersebut di rumahnya.
“Di sini keadaan akan kembali normal selepas solat sunat Aidilfitri dan tidak ada konsep ‘open house’ macam di Malaysia. Kiranya hari raya pun sunyi sepi, tidak semeriah di tanah air,” katanya.
Mengulas mengenai aktiviti pada bulan Ramadan masyarakat Arab Makkah, Siti berkata suasana meriah itu tidak jauh beza dengan tanah air baik dari segi ibadah mahupun menjalankan aktiviti santai bersama keluarga dan persediaan menyambut Syawal.
“Kalau di sini, solat Maghrib akan bermula 15 minit selepas azan dilaungkan manakala azan solat Isyak pula dilewatkan selama 30 minit dan diteruskan dengan solat terawih.
“Pada mulanya saya tertanya-tanya mengapa tidak kendengaran azan solat Isyak, rupanya azan dilewatkan kerana memberi ruang penduduk Makkah menjamu selera (berbuka puasa),” katanya.
Di Makkah juga ada beberapa lokasi tumpuan penduduk di sana untuk membeli-belah termasuk Jeddah dan Al-Aziziyah. Pusat beli belah juga pada bulan puasa dibuka hingga pukul 4 pagi.
“Memang biasa orang tempatan pergi ‘mall’ selepas solat terawih bersantai dengan keluarga, menikmati ‘supper’ hingga masuk waktu sahur.
“Pada malam raya, ada juga kemeriahan itu dirasai di sesetengah tempat atau lokasi tumpuan orang ramai membeli-belah terutama di Al-Aziziyah. Boleh dikatakan di sinilah ‘Jalan TAR’ masyarakat Arab Makkah.
“Suasana memang sangat meriah dengan aktiviti membeli-belah, malah perniagaan juga beroperasi selama 24 jam, kenderaaan bersesak-sesak di jalan dan tambang teksi juga meningkat berkali ganda,” katanya yang tinggal di Al-Awali, iaitu kira-kira 20 kilometer dari Masjidil Haram. - Bernama