Seludup Mercun Waktu Terawih

Seludup mercun waktu terawih
Gambar Hiasan
TUMPAT - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor mematahkan cubaan seludup mercun bernilai RM10,000 dalam serbuan di pangkalan haram Aziz di kampung Derdap malam semalam.

Pegawai Pemerintahnya, Asisten Suprtitanden Ahmad Amri Abd Rahman berkata, sebanyak 1,260 batang mercun roket dan 102 kotak lagi adalah mercun pelbagai jenis di rampas.

Katanya, aktiviti penyeludupan itu dikesan sekitar jam 9.30 malam di pangkalan haram tersebut selepas anggota PPM membuat intipan selama dua jam.

"Anggota PPM ternampak sebuah kereta jenis Proton Iswara Aerobek menghala ke tebing Sungai Golok.

"Manakala bot enjin galah merapat ke tebing pangkalan haram tersebut," katanya.

Menurutnya, dengan menggunakan bantuan Night Vision Binoculars, anggota PPM mengesan beberapa orang lelaki memunggah sesuatu dari bot enjin galah ke dalam kereta tersebut.

Katanya, sebaik menyedari kehadiran anggota PPM, lelaki tersebut melarikan diri dengan bot enjin galah ke seberang Thailand.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu membawa kepada penemuan mercun seludup," katanya.

Menurutnya, dia percaya penyeludupan mercun ini adalah untuk pasaran Aidilfitri yang mendapat permintaan tinggi musim ini.

Bagaimana pun katanya, pihaknya tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti penyeludupan kerana membawa masuk mercun itu boleh mendatangkan bahaya kepada masyarakat.

"Kes disiasat bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya.

Sumber: Sinar Harian