SELEPAS merangkul pingat emas dalam acara 400 meter (m) gaya bebas menewaskan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016, Mack Horton dari Australia awal pagi semalam, perenang negara, Welson Sim yakin untuk meraih tiga emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos depan.
Perenang berusia 20 tahun itu sudah bersedia untuk menyumbangkan tiga pingat emas buat kontinjen negara pada KL2017 menerusi acara 200m gaya bebas, 400m gaya bebas serta 1,500m gaya bebas.
Kejayaan menewaskan Horton pada Jelajah Mare Nostrum di Monte Carlo, Monaco itu ternyata membangkitkan semangat serta keyakinan perenang kelahiran Kuching, Sarawak itu untuk mencapai sasaran tiga pingat emas.
“Saya sentiasa memasang impian untuk menewaskan juara Olimpik dan kemenangan ke atas Mack (Horton) pada perlumbaan semalam (kelmarin) membuktikan bahawa latihan yang saya jalani berkesan, lebih-lebih lagi apabila Sukan SEA semakin hampir.
“Menerusi kemenangan ini saya yakin mampu untuk menampilkan aksi terbaik selain memberi suntikan motivasi kepada saya dalam misi menghadiahkan tiga kalungan pingat emas buat kontinjen negara,” kata Welson semalam.
Bagaimanapun, Welson mungkin berdepan tentangan sengit daripada perenang Singapura, Joseph Schooling yang merupakan pemenang pingat emas acara 100m kuak kupu-kupu pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.
Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan tahniah kepada perenang muda itu selepas meraih emas dalam acara 400m gaya bebas.
“Tahniah kepada perenang kita, Welson Sim atas kejayaan meraih pingat emas pada kejohanan di Monaco. Dia turut pecah rekod kebangsaan dan menewaskan juara Olimpik! Memang cukup manis kemenangan ini,” kata Najib menerusi laman sosial Twitter miliknya semalam.
Menerusi catatan masa 3:49.48 saat (s), Welson turut memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri iaitu 3:50.33s yang dilakukan pada Kejohanan Renang Kumpulan Usia Kebangsaan Singapura, Mac tahun lalu.
Sumber: Kosmo