Seni Grafiti Wadah Sampaikan Mesej Positif Kepada Masyarakat


IPOH - Dahulu masyarakat memandang negatif terhadap seni grafiti dan menganggapnya sebagai perbuatan vandalisme yang mencacatkan pemandangan.

Namun, semakin hari persepsi tersebut semakin terhakis dan ia diterima sebagai karya yang menarik kerana mempunyai nilai estetika tersendiri di mata pencinta seni.

Bagi pemuda kelahiran Taiping, Nursira Juddin Shariffudin, 30, minatnya terhadap seni lukisan bermula sejak kecil seterusnya menjadikan grafiti serta mural, wadah untuk bebas berkarya bagi menyampaikan mesej positif.

"Saya melukis potret sebelum berkarya dengan menggunakan penyembur warna untuk melukis mural di dinding-dinding kosong ketika sekolah menengah," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Nursira berkata sebelum ini beliau bergerak secara sambilan sebelum memberanikan diri melakukannya secara sepenuh masa bersama isteri Erlizan Jabar, 31, dan menubuhkan sebuah syarikat Graffite Management pada 2013.

"Saya mengambil tempahan melukis mural di sekolah, bangunan kerajaan, mengindahkan kawasan dengan kebenaran Majlis Perbandaran Manjung dan Batu Gajah serta restoran di seluruh negara selain mengajar pelajar sekolah," katanya.

Menurut Nursira, beliau menerima pulangan antara RM1,000 hingga RM2,000 bagi sebuah dinding untuk lukisan grafiti bergantung kepada saiz dan reka bentuk. Kos antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan diperlukan bagi membeli kanvas dan cat semburan yang diimport dari Sepanyol," katanya sambil menambah hasil karyanya boleh dilihat di laman Facebook sira satu dan Instagram mytho.

Katanya untuk menghasilkan grafiti yang terbaik, seseorang pelukis memerlukan latihan rapi bagi membolehkan pelukis menterjemahkan karya mereka seikhlas hati di dinding atau tembok kosong.

"Walaupun sudah sembilan tahun dalam bidang ini, latihan masih diperlukan dan saya akan meluangkan masa untuk mencari idea-idea baharu kerana saya suka seni grafiti berkonsepkan karektor," katanya.

Nursira berkata beliau sering menyertai pertandingan di beberapa negara seperti Hong Kong, Singapura serta China dan yang akan datang adalah di Brunei pada 21 hingga 23 Julai ini.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Koloni Karyawan Amanjaya (PORT) kerana banyak membantu saya dan karyawan di Perak untuk menonjolkan bakat di peringkat antarabangsa," katanya. - BERNAMA