Shah Rukh Khan Mengamuk Sakan Kena Prank Di Mesir


KALAU dahulu kecoh Paris Hilton kena prank dengan insiden kapal terbang bakal terhempas, kali ini raja Bollywood, Shah Rukh Khan (SRK) pula jadi sasaran personaliti prank terkenal dari Mesir, Rames Galal.

Bagaimanapun, tindakan mengenakan jenaka terhadap bintang itu ternyata membawa padah apabila SRK dilihat mengamuk besar sehinggakan hampir memukul pengacara rancangan itu setelah mengetahui dirinya menjadi mangsa prank.

Menerusi video yang dirakam rancangan itu, SRK dikatakan dalam perjalanan untuk ditemu ramah di sebuah padang pasir di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Namun, ketika perjalanan ke tempat yang ingin dituju, kereta yang dinaiki SRK terjerumus dalam pasir jerlus hingga mengakibatkan separuh badannya tenggelam bersama-sama dua individu yang ikut serta.


Walaupun diduga dengan insiden cemas itu, SRK kelihatan tenang dan pada masa sama berusaha menyelamatkan seorang lelaki yang hampir tenggelam dalam pasir itu, sementara seorang lagi wanita dilihat terjerit-jerit ketakutan.

Saat itu muncul Rames yang menggenakan kostum biawak komodo gergasi datang seolah-olah mahu menyerang mereka sebelum mendedahkan identitinya.


Malangnya, gurauan itu ternyata tidak disenangi SRK sehingga aktor kacak itu meluapkan rasa kemarahannya di hadapan semua krew program tersebut.

“Ini tak kelakar. Kamu ingat saya datang jauh dari India untuk melakukan benda bodoh ini?” selar SRK.

Galal kemudian dilihat meminta maaf berulang-ulang kali kepada SRK sehingga terpaksa sujud di kaki pelakon itu untuk menenangkannya.

Insiden menjadi lebih panas apabila SRK menolak Galal hingga terjatuh dan hampir-hampir menumbuknya.


Terdahulu, Galal pernah menjadi mencetuskan kontroversi apabila melakukan prank terhadap Paris Hilton hinggakan ada dakwaan menyatakan selebriti jutawan itu mahu menfailkan saman kerana melakukan prank melibatkan nyawanya. – Kedahnews.com