Shahir Berlakon Drama Dengan Erra


KUALA LUMPUR - Penyanyi Shahir Zawawi, 29, memberitahu bahawa dia bakal berlakon di bawah satu produksi drama dengan kekasihnya, Erra Fazira dalam masa terdekat.

Diterbitkan oleh Skop Productions, siri arahan Aziz M. Osman itu diberi judul My Darling Inspektor Daniel dan Shahir akan terlibat sebanyak dua episod sebagai pelakon undangan.

“Erra adalah antara teraju utama, manakala kemunculan saya sekadar penampilan istimewa. Tidak pasti pula sama ada terdapat adegan kami berdua atau tidak.

“Penggambaran drama ini dah bermula cuma babak yang membabitkan saya belum lagi. Mungkin minggu depan saya akan masuk set,” katanya.

Anak kelahiran Ipoh, Perak itu berkata demikian ketika ditemui usai majlis Himpunan Artis Sayang Al-Quran (HASA) yang diadakan di sini baru-baru ini.

Shahir yang sudah lama menyepi menjelaskan, sebab utama dia kembali aktif menghadiri acara-acara hiburan sejak kebelakangan ini adalah kerana dia akan kembali serius menyanyi dan berlakon.

“Alhamdulillah, bisnes di kampung semakin stabil dan saya ada rakan kongsi yang boleh menguruskannya apabila ketiadaan saya.

“Itu antara faktor yang mendorong saya untuk menjejakkan semula kaki dalam bidang seni. Lagipun, atas desakan peminat juga yang mahu saya aktif,” ujarnya yang menjalankan perniagaan di kampung halamannya.

Pada masa sama, Shahir juga akan mengeluarkan single baharu, namun pemilihan lagu belum diputuskan. 

Sumber : Utusan Online