Shebby Kritik Penjaga Gol JDT, TMJ Tepis Kritikan


PETALING JAYA - Tindakan penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT) yang dilayangkan kad merah kerana bergaduh dengan pemain Ceres-Negros FC pada aksi separuh akhir kedua Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Panaad, Bacolod City, Filipina, malam Rabu dikecam hebat.

Penganalisis bola sepak tanah air, Serbegeth "Shebby" Singh antara yang kecewa dengan kelakuan Farizal yang disifatkan seperti samseng.

"Sebagai rakyat Malaysia, saya benar-benar malu dengan kelakuan Farizal. Itu bukan cara kita rakyat Malaysia bertindak. Dia perlu dihukum di atas kelakuannya itu... anda tidak letak tangan anda pada pengadil.

"Saya pernah lihat pemain dilarang seumur hidup kerana berkelakukan seperti itu. Jadi kelakuan itu tidak patut. Tiada profesionalisme. Ya, kita semua beremosi, kita semua ghairah mengenai permainan. Tetapi berkelakuan seperti itu, saya maksudkan ini adalah kelakuan samseng.

"Saya bercakap berdasarkan hati saya, sebagai anak Johor, saya berharap Farizal tidak bermain untuk JDT lagi kerana dia telah benar-benar memalukan kira-kira 3.6 juta rakyat Johor di Malaysia," kata Shebby ketika memberikan analisis selepas perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan itu di Fox Sports Asia.

Namun, di sebalik kecaman itu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil mempertahankan Farizal.

Tunku Ismail yang juga pemilik pasukan JDT menyatakan sokongan terhadap Farizal dalam satu video yang dimuat naik menerusi Facebook Johor Southern Tigers.

"Kepada Farizal Marlias, I'm with u. Kepada penyokong-penyokong JDT, pemain JDT I Love U," katanya dalam video tersebut.


Pada masa sama, Tunku Ismail turut menasihati penyokong JDT supaya jangan cepat melatah dengan kekalahan tersebut.

"Kepada penyokong JDT mental jangan cepat koyak, baru kene enjit sikit mental dah koyak. Tengok saya dah bertahun kene enjit relax je, tak lot tak lot punya... Kepada penyokong JDT kekal bersama kelab, love u...," kata Tunku Ismail.

Sementara itu, kenyataan Shebby turut dikritik peminat bola sepak tanah air dengan ada di antara mereka menyifatkan komen tersebut sebagai keterlaluan.

Seorang pengguna Facebook, Yusnizam Yusof berkata: "Biasa la tu... kadang buat silap... Ayat Shebby Singh terlalu melampau kot... Xda player bola main nak kalah. Macam dia xpernah main bola... Citt!

Nik Faisal Arif berkata: "Saya bukan peminat JDT... tetapi lelaki ini bercakap keterlaluan...tindakan tu tak ada kena mengena dengan negeri... JDT tgh wakil Malaysia...Farizal orang Malaysia... jadi ayat *** macam suruh Farizal keluar Malaysia ker?... relax sudah.

Sumber: mStar