Siasatan Kes Kematian Zulfarhan Di Peringkat Akhir

 

IPOH - Kertas siasatan berhubung kematian mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain yang meninggal dunia pada 1 Jun lalu dipercayai akibat didera kini di peringkat akhir.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, siasatan kes tersebut masih lagi dijalankan dan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara sebaik sahaja siasatan selesai dilakukan.

“Banyak yang telah diperkatakan dan dibincangkan berkenaan apa yang berlaku di UPNM. Apa pun pihak kami masih lagi menjalankan siasatan dan akan ajukan kes ini kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat. Kita tunggulah apa juga keputusannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Program Singgah Sahur Warga PDRM Perak bersama Ketua Polis Negara di Balai Polis Pekan Baru di sini pagi tadi.

Zulfarhan Osman, 21, Pegawai Kadet Laut UPNM meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun lalu dengan kesan lebam dan melecur pada badan dipercayai didera dengan seterika wap. 

Sumber : Utusan Online