Sisa Makanan Ramadhan Mampu Tanggung 180 Juta Mangsa


STATISTIK mutakhir mendedahkan lebih 270 ribu tan makanan yang tidak diusik dibuang setiap hari pada bulan Ramadhan.

Untuk makluman, dua kilogram makanan diperlukan bagi menanggung seorang pelarian selama sehari. Jadi setiap hari, 180 juta pelarian kehilangan makanan di Malaysia.

Secara data: Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyenaraikan pada tahun ini terdapat 200 juta pelarian dan mangsa krisis kebuluran di seluruh dunia.

Di Syria, pelarian perang merebus semula kotak pakaian dan barangan dan dijadikan makanan akibat kelaparan. Dia Sub Afrika, lebih 60 juta mangsa kebuluran memamah daun, rumput dan rumpai sebagai makanan harian.

Status Ramadan sebagai bulan mulia mendedahkan sisi lain umat Islam di negara ini. Tahap pembaziran makanan berstatus tidak diusik atau layak dijamu ini memberi gambaran: Bagaimana semangat untuk berbuka puasa menjadikan umat Islam pembazir makanan.

Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) berkata berdasarkan jumlah pembuangan sisa itu, jumlahnya boleh dihidangkan kepada 180 juta orang, enam kali ganda melebihi populasi negara ini.

Jika disusun longgokan makanan yang dibazirkan, tingginya bersamaan dengan 30 bangunan KLCC. Ketinggian Menara Berkembar Petronas itu ialah 452 meter.

Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Datuk Ab. Rahim Md. Noor berkata, secara purata setiap hari pada bulan Ramadan, 9,000 tan makanan dibuang begitu sahaja.

Ia gambaran serius sikap pembaziran. Paling membimbangkan apabila sekiranya sikap membazir ini petunjuk jelas mengenai budaya rakyat Malaysia.

Ingatlah firman ALLAH SWT dalam Surah Al A’raaf, ayat 3: “Makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.”

Allah menegur lagi dalam Surah Al Israa’, ayat 26 dan 27: “Dan janganlah kamu membazir, sesungguhnya orang yang membazir itu saudara syaitan.”

Selain pembaziran di bazar Ramadan, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mengatakan: “Pembaziran makanan pada Ramadan berpunca daripada bufet. Separuh statistik ini datangnya daripada bufet hotel.”

Ingatlah! Hari ini lebih 65.3 juta pelarian sedang menghadapi kebuluran serius di rantau bergolak. Akses kepada sebutir beras pun amat payah. - Kedahnews.com