KUALA TERENGGANU - Pengguna Lebuh Raya Pantai timur 2 (LPT2) yang singgah di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing bakal menikmati minuman dan snek percuma sepanjang bulan Ramadan dan awal Syawal bermula esok hingga 30 Jun ini.
Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, minuman dan snek berkenaan akan mula diagihkan kepada pengunjung bermula jam 5 petang sehingga 9 malam atau selagi stok masih ada.
"Ini adalah inisiatif dari kerajaan negeri dalam menggalakkan pengguna LPT 2 untuk singgah ke R&R berkenaan yang sedikit 'lesu' akibat kekurangan pengunjung.
"Secara tidak langsung pemberian snek dapat merancakkan suasana di kawasan itu sekaligus membantu meningkatkan pendapatan peniaga di situ yang sering mengalami kerugian akibat kekurangan pelanggan," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Katanya, dengan pemberian snek dan minuman secara percuma itu pihaknya menyasarkan pengunjung ke kawasan itu meningkat kepada 250 orang sehari berbanding kurang 100 orang pada masa kini.
"Pihak pelancongan juga akan mempergiatkan promosi itu dengan meletakan 'banner' di sepanjang hentian Lebuh Raya Pantai Timur 1, seperti di hentian Rehat dan Rawat Temerloh, dan Gambang," katanya.
Tuan Faisal berkata, pihak yang menyumbang dalam pemberian snek dan minuman itu termasuk pejabat Daerah Kemaman serta 14 buah syarikat swasta antaranya Casa Hartamas Sdn Bhd, Hexatrend Sdn Bhd, Casa Hartas Quarry Sdn Bhd, Perunding Irzi Sdn Bhd, Giga Builders Sdn Bhd, DM Machinery Sdn Bhd, BBR Construction System (M) Sdn Bhd, Chan Kong Meng Sdn Bhd, Total Corporation Sdn Bhd, Roadnet Solutions Sdn Bhd, Keb Piling Sdn Bhd, Yong Civil Construction, JS Petroleum Sdn Bhd, dan Pending Makmur Sdn Bhd,
Katanya, sebuah Pusat Maklumat Pelancongan juga akan dibuka di R&R itu dan mengadakan beberapa aktiviti lain seperti memasang kira-kira 200 unit pelita setiap hari bermula 10 Jun ini bagi mengindahkan lagi suasana R&R itu. - BERNAMA