Sokong RCI Siasat Kerugian Bank Negara Zaman Mahathir


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyokong penuh penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian urus niaga mata wang Bank Negara Malaysia (BNM) kerana ia membolehkan dokumen sulit berhubung kontroversi tersebut dapat disemak semula.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata, RCI mempunyai kuasa perundangan untuk mengakses semua dokumen BNM berhubung isu kerugian yang dialami sekitar 1980-an dan 1990-an dan berbeza dengan pasukan petugas khas diterajui oleh Tan Sri Mohd. Sidek Hassan sebelum itu yang mempunyai kuasa lebih terhad.

“Pasukan petugas khas tidak mempunyai kuasa perundangan, boleh panggil saksi tapi tidak boleh check dokumen Bank Negara dan sebagainya mereka tidak boleh sebab banyak dokumen itu dianggap sulit dan sebagainya.

“Dan ia tidak boleh disemak oleh pasukan petugas khas ini, jadi RCI mempunyai kuasa untuk menyemak dokumen ini,” kata Ismail yang juga  ahli Majlis Tertinggi UMNO semasa ditemui semalam selepas menghadiri Program Jom Moreh yang diadakan di Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Al-Nasuha, Gombak di sini malam tadi.

Kabinet semalam juga turut mengumumkan penubuhan RCI tersebut bagi membolehkan siasatan diteruskan memandangkan Petugas-Petugas Khas (PPK) mendapati wujud kes prima facie bagi kerugian BNM

Sumber :Malaysia Gazette