Sorok Dadah Celah Kemaluan Elak Dikesan Di Rompin


ROMPIN - Seorang lelaki didapati menyelit bungkusan mengandungi dadah di celah kemaluannya di sebuah rumah di Kampung Tanjung Gemok di sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Rompin, DSP Azli Mohd Noor berkata pihaknya menemukan satu keratan penyedut minuman berisi ketulan dan serbuk putih disyaki dadah pada celah kemaluan lelaki berusia 40 tahun itu.

"Suspek yang berasal dari Pulau Pangkor, Perak itu ditahan bersama rakannya yang berusia 27 tahun dari Perumahan Pontian Jaya di sini dalam serbuan kira-kira 7.30 pagi.

"Mereka didapati cuba menyembunyikan dadah itu semasa rumah mereka diserbu anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin," katanya kepada pemberita.

Beliau menambah pemeriksaan di rumah terbabit menjumpai dadah jenis heroin, syabu dan pil eramin 5 yang dianggarkan bernilai RM8,095.

Pihak polis antara lain turut merampas alat timbang digital dan sebuah beg sandang yang mengandungi RM5,120, kata Azli.

Beliau berkata dadah itu dipercayai diperoleh daripada seorang lelaki di Endau, Johor untuk diedarkan kepada penagih di sekitar daerah ini.

"Suspek berusia 40 tahun itu merupakan bekas tahanan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) dan kedua-dua suspek mempunyai pelbagai rekod lampau membabitkan kes dadah. Mereka juga didapati positif Methamphetamine," katanya.

Kedua-duanya kini ditahan reman selama seminggu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A (2), Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA