SRK Malaysia Dah Ada Calon Isteri?


PETALING JAYA - Pemuda yang tiba-tiba popular kerana hasrat mencari jodoh yang dimuat naik di Facebook telah tular, sekali lagi mencuri tumpuan apabila memuat naik gambar bersama seorang gadis menimbulkan tanda tanya dalam kalangan 'peminatnya'.

Dengan keterangan gambar ‘Selamat hari raya’ berserta emoji wajah yang gembira mengundang persoalan dalam kalangan netizen terutama wanita.

Berbaju Melayu kelabu, bersampin dan songkok, Eddy Dzuhairy Khairuddin kelihatan segak bersama gadis ayu bertudung dalam persalinan merah.

Menerusi komen-komen di Facebook, ada yang mengajukan soalan sama ada gadis tersebut adalah calon isteri kepada pemuda berusia 31 tahun ini.

“Inikah calon isteri Eddy Dzuhairy Khairuddin? Selamat berbahagia hingga ke jannah. Amin,” kata seorang pengguna Facebook.

Bagaimanapun, teka-teki terjawab apabila Eddy membalas dengan menjelaskan bahawa gadis berkenaan adalah adik kandungnya.

Susulan jawapan itu, terdapat pengguna Facebook yang menarik nafas lega kerana masih berpeluang untuk berkenalan dengan pemuda ini.

“Fuh... lega rasa hati, adik rupanya,” kata seorang gadis, disusuli komen-komen pengguna lain yang memuji kecantikan adik Eddy.

Menurut Eddy, gambar tersebut sebenarnya diambil semasa majlis perkahwinan sepupu mereka di Perak pada April lalu.

“Gadis dalam gambar itu sebenarnya adalah adik bongsu saya, Balkish Khairuddin baru berusia awal 20an. Saya masih belum bertemu dengan calon isteri setakat ini,” katanya kepada mStar Online.

Eddy yang baharu berkesempatan untuk pulang beraya di kampung di Bahau, Negeri Sembilan pada Rabu memberitahu, dia begitu sibuk meluangkan masa bersama keluarga.

“Hari ini pula saya menyertai konvoi motosikal bersama kawan-kawan. Esok akan kembali kerja sehari sebelum pulang semula ke Bahau untuk bercuti,” katanya.

Bagaimanapun kata Eddy, dia bersedia menerima kunjungan daripada orang yang tidak dikenali sempena Hari Raya susulan kisahnya mencari jodoh tular di media sosial.

“Saya menerima dengan hati yang terbuka jika ada sesiapa yang mahu berkenalan. Tapi kalau yang datang itu bersama keluarganya, mungkin saya agak 'nervous',” katanya.

Baru-baru ini, Eddy mencuba nasib mencari calon isteri dengan bantuan adik lelakinya menerusi ‘posting’ di Facebook sehingga mendapat sambutan di luar jangkaan dalam kalangan gadis-gadis termasuk wanita berstatus janda.

Menerusi ‘posting’ berkenaan, adiknya menggambarkan Eddy sebagai pemuda kacak seperti bintang Bollywood, Shah Rukh Khan, namun kebanyakan netizen berpendapat dia lebih mirip kepada pelakon tempatan, Hans Isaac.

Sumber : Mstar Online