Struktur Semula Kejurulatihan BAM - Norza


KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menegaskan perubahan penstrukturan kejurulatihan tidak hanya tertumpu kepada acara perseorangan.

Sebaliknya beliau berkata, mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan & Latihan (C&T) yang akan dipengerusikannya Khamis depan akan menjurus kepada semua aspek kejurulatihan.

“Selepas memegang tampuk kepimpinan BAM, perkara utama yang saya lihat adalah keperluan mengemaskini kejurulatihan di peringkat perseorangan lelaki.

“Ini kerana di peringkat ini agak tenat kerana kita tidak dapat melahirkan pemain perseorangan selain (Datuk) Lee Chong Wei.

“Namun selepas saya berada bersama-sama pasukan di Piala Sudirman, saya lihat perlunya perubahan secara keseluruhan mengenai kejurulatihan yang kita ada.

“Perkara ini saya sudah maklumkan kepada Morten Frost Hansen (Pengarah Teknikal BAM) dan dia sedang membuat persiapan untuk dibentangkan pada mesyuarat 8 Jun ini,” katanya kelmarin.

Frost menerusi laporan Arena Metro semalam mengakui akan mengadakan perubahan penstrukturan kejurulatihan dalam badan induk itu tetapi beliau enggan mendedahkannya lebih lanjut.

Sementara itu, Norza berkata, mesyuarat C&T nanti dijangka turut memutuskan senarai pemain yang akan beraksi pada Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) Ogos depan.

Jelasnya, pemain perseorangan lelaki negara Iskandar Zulkarnain Zainuddin dijangka mengetuai cabaran negara ke temasya sukan dwitahunan itu.

Sumber : Utusan Online