KUALA LUMPUR - Pelakon terkenal, Datin Seri Zizie Ezzette berkongsi pengalaman lucu mengenai suaminya yang sering mengingatkannya agar tidak menjadi terlalu jahat gara-gara lakonannya sebagai Puan Sri Mawar dalam drama bersiri Hero Seorang Cinderella (HSC).
Menurut Zizie, suaminya, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin seperti tidak percaya kenapa dia boleh menjadi ‘sejahat’ itu dalam drama arahan Michael Ang dan Hadith Omar yang kini ditayangkan di Astro.
Suami Zizie yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan sering mempersoalkan isterinya kenapa Puan Sri Mawar harus menjadi kejam dan tidak berperikemanusiaan.
“Setiap hari saya akan menghantar mesej pada suami bercerita mengenai penggambaran drama ini dan setiap hari jugalah dia akan cakap “jangan jahat sangat bah”. Rupa-rupanya suami saya sendiri terkejut dengan lakonan saya.
“Apa-apapun dia adalah suami yang sangat penyayang dan selalu memberi sokongan tidak berbelah bagi pada saya,” kata Zizie.
Bercerita mengenai kemunculannya dalam HSC, Zizie berkata, dia amat bersyukur kerana karakternya itu mendapat perhatian meluas daripada peminat-peminat setia drama Melayu.
“Saya sendiri terkejut apabila karakter Puan Sri Mawar dalam drama HSC menjadi perhatian. Apa pun saya bersyukur kerana keputusan saya untuk menerima tawaran daripada Michael Ang untuk berlakon drama ini sangat tepat.
“Bayangkan selepas lapan tahun tak berlakon, tiba-tiba dapat karakter Puan Sri Mawar. Saya gembira kerana dapat menghayati watak itu seperti mana yang dikehendaki oleh pengarah,” ujar Zizie lagi.
Biarpun lakonan dalam HSC menjadi fenomena, Zizie bagaimanapun mengumumkan, dia akan berhenti berlakon untuk tempoh antara dua hingga tahun selepas berakhirnya drama popular itu.
Menurut Zizie, dia tidak berhajat untuk menerima apa-apa tawaran buat sementara waktu sekalipun lakonan dalam HSC merupakan kemunculan semulanya selepas berehat selama lapan tahun.
Bagaimanapun, Zizie enggan menjelaskan sebab mengapa dia mahu berehat seketika.
“Saya ingin berehat seketika. Nanti saya umumkan kenapa saya ambil keputusan (berhenti berlakon) ini,” katanya
Selepas berkahwin dengan Bung Mokhtar pada 2009, Zizie yang juga kakak kepada aktor popular, Shaheizy Sam ini menyepikan diri dari gelanggang perfileman dengan memberi tumpuan pada rumah tangga.
Sumber: Utusan