POLIS menahan 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Op Bersepadu di sekitar bandar raya Kota Kinabalu, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, semua mereka antara 59 individu yang diperiksa dalam operasi selama 10 jam bermula 11 malam tadi dan berakhir 9.30 pagi semalam.
"Lokasi operasi di kawasan setinggan Taman Fantasi, rumah kongsi berhampiran Country Height, rumah sewa Kolombong, Yayasan Sabah, setinggan Batu 7, Inanam dan Kayu Madang, Manggatal.
"Hasilnya, menahan 20 orang warga Filipina berusia enam bulan hingga 50 tahun kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati dua daripada yang ditahan positif dadah jenis syabu.
"Semua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
"Operasi itu turut membabitkan penandaan rumah setinggan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Electricity Sdn Bhd (SESB) bagi memutuskan sambungan bekalan elektrik secara haram di penempatan setinggan," katanya.
Operasi bersepadu itu membabitkan tiga pegawai dan 81 anggota terdiri daripada polis dari IPD Kota Kinabalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA), DBKK, RELA dan SESB.
Sumber: Harian Metro