Sukan SEA 2017: Malaysia Punya Potensi Muncul Juara Keseluruhan


KUALA LUMPUR – Kontinjen Malaysia berada pada kedudukan terbaik untuk muncul juara keseluruhan pada Sukan SEA ke-29 akan datang, kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar.

Tunku Imran berkata berdasarkan pemilihan 558 atlet daripada 30 persatuan sukan kebangsaan, kontinjen tuan rumah mampu meraih pingat emas terbanyak pada temasya dwi tahunan itu yang akan berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos depan.

“Saya berpendapat kita mempunyai kontinjen terbaik, kebanyakan mereka adalah atlet terbaik serta sedikit sahaja yang mengalami kecederaan. Namun, kita mengingatkan mereka agar berhati-hati dan mengelak daripada kecederaan kerana temasya sukan itu akan berlangsung tidak lama lagi.

“Prestasi mereka harus berada di kemuncak pada temasya sukan itu, dan bukan sebaliknya,” kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pemilihan akhir Sukan SEA, dengan 30 persatuan sukan di Wisma MOM di sini semalam.

Sebanyak 558 atlet itu melibatkan 319 atlet lelaki dan 239 atlet wanita. Sejumlah 200 pegawai turut terlibat dalam 30 jenis sukan berkenaan.

Tunku Imran berkata beberapa persatuan sukan, termasuk Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) diberi lanjutan tempoh bagi mengesahkan senarai atlet masing-masing.

“Mereka memohon lebih masa sebelum memuktamadkan senarai atlet, jadi kami memberi tempoh sehingga minggu depan. Walaupun tarikh akhir kemukakan nama atlet pada 30 Jun, kita minta mereka kemukakan lebih awal kerana beberapa perkara perlu diselesaikan seperti proses membuat akreditasi serta cuti sempena hari raya,” katanya.

Bagi acara sukan berpasukan, persatuan sukan terlibat diberi tempoh sehingga 8 Julai untuk mengemukakan senarai atlet masing-masing.

Antara sukan berpasukan itu adalah bola sepak, hoki, futsal, hoki ais, bola jaring dan polo. – BERNAMA