Sultan Berkuasa Arah Sivarasa Dibuang Daerah


KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Melayu (MPM) mahu tindakan tegas diambil terhadap Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa yang biadab dan derhaka kerana mengingkari perintah perintah Sultan Selangor melarang sebarang bentuk ceramah politik di dalam masjid.

MPM dalam satu kenyataan menegaskan, insiden seperti itu telah banyak kali terjadi sebelum ini namun tiada tindakan tegas diambil sebagai pengajaran kepada mereka yang biadab dan derhaka.

Katanya, MPM akan menulis surat rasmi kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan pihak istana agar pihak berwajib lebih tegas dalam menangani isu seperti ini agar tidak berulang.

“Jika dirujuk kepada Piagam Madinah yang digubal pada zaman Rasulullah memerintah Madinah, komuniti Islam bersama puak-puak yang majmuk wajib akur dengan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam piagam itu. Jika mereka ingkar, antara hukumannya ialah menyahkan mereka daripada komuniti berkenaan.

“Sultan berkuasa untuk mengarahkan Sivarasa dibuang daerah untuk suatu tempoh masa yang dirasakan wajar. Dalam tempoh itu Sivarasa akan hilang haknya termasuk sebagai ahli Parlimen.

“Perlembagaan negara ini menyerupai Piagam Madinah dan ternyata tindakan Sivarasa sudah mencemari peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan enakmen negeri. Justeru tindakan wajib diambil terhadap beliau,” katanya di sini semalam.

Tambah kenyataan tersebut, pihak JAIS dan jabatan syariah juga boleh mengenakan tindakan ke atas Sivarasa kerana melanggar peruntukan larangan yang dibuat.

“Jika gejala seperti ini tidak dibendung pastinya ramai lagi yang akan menjadi biadab dan derhaka kerana mereka hanya akan dicela tetapi tidak akan dihukum. Jangan harap mereka ini akan menghormati institusi Islam dan institusi raja.

“Jika wakil rakyat seperti Sivarasa ini begitu biadab dan derhaka, melupai sama sekali Rukun Negara, bagaimana mereka boleh layak bergelar wakil rakyat,” katanya.

Sumber : Utusan Online