Suntong Tutok Kudapan Istimewa Bulan Ramadan Di Sarawak


KUCHING - Setiap kali bulan Ramadan, “suntong tutok” atau sotong kering ketuk pastinya kudapan yang paling dicari untuk dinikmati selepas solat tarawih oleh masyarakat di Sarawak.

Walaupun bilangan gerai yang menjual suntong tutok ini agak sedikit pada waktu biasa, namun kewujudannya bagai cendawan tumbuh selepas hujan pada bulan Ramadan.

Di bandar raya Kuching antara lokasi pilihan untuk mendapatkan juadah popular ini ialah di sekitar Jalan Astana dan kampung-kampung Melayu di sekitar kawasan Satok.

Bagi Mohamad Ghazali Jeman, 39, yang menjual variasi suntong tutok pelbagai saiz mengikut harga serendah RM4 hingga RM14 berkata, proses penyediaan tidak sukar dan mampu dilakukan oleh sesiapa sahaja.

"Selepas saiz suntong dipilih pelanggan perkara pertama perlu dibuat ialah bakar atas bara api seketika untuk melembutkan bagi memudahkan proses meleper. Suntong kemudian akan dileper nipis, proses boleh dibuat menggunakan tukul atau mesin penggelek," katanya.

Berpengalaman menjual suntong tutok sejak berusia sembilan tahun, Mohamad Ghazali mengakui proses penyediaan suntong tutok kini lebih mudah dengan menggunakan mesin yang menjimatkan masa berbanding terpaksa mengetuk menggunakan penukul.

"Tidak dinafikan ada yang lebih menyukai proses penyediaan suntong tutok menggunakan penukul, tetapi bagi saya penggunaan mesin tetap memberi kepuasan, sebagai contoh suntong boleh dileper senipis mungkin agar mudah untuk dimakan nanti," katanya yang mampu menjual kira-kira 1.5 kilogram suntong tutok setiap malam.

Menjalankan perniagaan di Jalan Kulas Utara Satu di sini, pemuda ini berkata, permintaan suntong tutok amat tinggi pada bulan Ramadan sehingga beliau turut mengambil keputusan menyediakan perkhidmatan penghantaran kepada pelanggan yang jauh.

"Kebiasaannya saya buka gerai bermula 2 petang, kemudian lakukan penghantaran manakala pada waktu malam saya berada di gerai ini untuk pelanggan yang datang membeli terus," katanya dan menambah jumlah pelanggan bertambah selepas solat tarawih.

Ketika ditanya rahsia kekal dalam perniagaan, pemilik sebuah syarikat produksi tempatan ini mengakui semua orang boleh menjual suntong tutok namun yang membezakan ialah sambal pencicahnya.

"Sambal pencicah saya dibuat daripada cili kering, kacang tanah, cuka dan gula apong. Proses penyediaan tidak menggunakan mesin untuk mengekalkan rasa asli, mungkin itu rahsia sehingga pelanggan tidak putus-putus datang," katanya. - BERNAMA