Suspek Pecah Rumah, Larikan Kenderaan Ditahan

Image result for pecah rumah

POLIS menahan seorang lelaki berusia 32 tahun di kawasan Bandar Dato Onn, Johor Bahru, semalam, kerana disyaki terbabit dalam kes pecah rumah dan melarikan kenderaan.

Suspek ditangkap pada 4.20 petang selepas polis menahan Proton Perdana dipandunya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, pihaknya bertindak atas maklumat satu kes samun dan berjaya mengintip suspek di lorong belakang bangunan kedai di kawasan berkenaan.

"Kita berjaya menahan suspek dan merampas kenderaan itu yang dicuri di Taman Sri Tebrau pada awal pagi kelmarin.

"Kita membuat pemeriksaan terhadap suspek dan menemui dua kunci kereta dalam poket seluar suspek," katanya.

Menurutnya, polis turut merampas pelbagai barangan dalam beg galas pada suspek termasuk lima telefon bimbit, dua pemutar skru, tiga allen key, dua pasport Malaysia dan seutas jam tangan.

"Hasil siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau dan dia masih dikehendaki berkaitan kes dadah di Larkin dan kes pecah rumah Batu Pahat," katanya.

Beliau berkata, suspek dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor.

Sumber: Harian Metro