GEORGE TOWN – Taktik satu sindiket menggunakan bungkusan teh Cina untuk menyembunyikan 21 kilogram (kg) syabu dan pelbagai dadah lain bernilai RM1.63 juta terbongkar apabila enam lelaki diberkas dalam lima serbuan di sekitar negeri ini Rabu lalu.
Operasi sindiket dadah yang aktif sejak awal tahun ini itu, berjaya disekat Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (Sting) Bukit Aman dalam operasi pada pukul 5.45 petang hingga 10.15 malam.
Dalam serbuan itu, polis menahan enam lelaki berusia 21 hingga 45 tahun di sekitar daerah Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan.
Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Ali berkata, ekoran tangkapan itu, polis berjaya merampas 21kg syabu, 7,800 biji pil eramin 5 dan 18 gram ganja daripada suspek.
Katanya, dadah itu dapat menampung untuk kegunaan 100,000 penagih tempatan dan warga Indonesia.
Sumber: Kosmo