ALOR SETAR - Pergerakan Pemuda UMNO Kedah menggesa Angkatan Muda Bersatu (Armada) PPBM mengemukakan bukti kukuh tentang dakwaannya bahawa tiga Exco parti itu belot akibat bersekongkol dengan Raja Petra Kamaruddin.
Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata dakwaan Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah berat dan ia perlu dibuktikan dengan segera.
“Pemuda Kedah juga amat meragui dakwaan tersebut dan percaya ianya adalah semata-mata ingin menutup kelemahan kepimpinan Armada yang dilihat tidak matang serta kebudak-budakan.
“Pemuda UMNO Kedah juga percaya desakan tiga Exco Armada adalah serius dan ianya perlu disiasat dengan segera,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Shaiful Hazizy yang juga Exco Pemuda UMNO berkata demikian mengulas kenyataan Syed Saddiq yang mendakwa tiga Exco Armada yang membuat laporan polis terhadap pimpinan PPBM itu kerana belot dan desakan hidup sehingga sanggup menjual harga diri kepada UMNO.
Syed Saddiq menuduh tiga Exco Armada yang melancarkan ‘serangan’ terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, sebagai pembelot.
Ketua Armada PPBM itu mendakwa ketiga-tiga Exconya dipergunakan oleh pengendali blog tersebut (Raja Petra) untuk bercerita mengenai pertemuan sulit Dr. Mahathir dan Tun Daim Zainuddin tentang saman sivil DOJ yang didakwanya tidak pernah berlaku
Dalam perkembangan yang sama, Shaiful Hazizy turut memandang serius dakwaan wujudnya perancangan dan konspirasi pemimpin PPBM bersama DOJ untuk mencalarkan imej negara.
Menurutnya, tindakan DOJ seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena di mana wujudnya perancangan besar atau grand design di mana tiada pendakwaan berlaku dan ianya bersifat acah-acah sahaja.
Oleh yang demikian, beliau mengesyorkan agar pihak berkuasa perlu mengambil tindakan dengan segera membuka kertas siasatan bagi mencari kebenaran tentang kewujudan ‘perancangan besar’ itu.
“Bagi Pemuda Kedah, Tun Mahathir Mohamad juga perlu diajar untuk menghormati undang-undang dan pada masa yang sama maruah dan kedaulatan negara perlu terus menerus dipertahankan,” kata Shaiful Hazizy lagi. - Kedahnews.com