Syura Bawa Anak Sambut Raya Di Rumah Bekas Suami


WALAUPUN tidak lagi terikat sebagai sepasang suami isteri, penyanyi Syura Badron, 31, tidak pernah mengabaikan hak anak-anak untuk bersama bekas suami, Mohd Fadhly Md Yassin, 36.

Malah, hubungan baik dengan Mohd Fadhly membantu Syura membuat persiapan raya untuk tiga anak mereka iaitu Nurul Dania Irdani, 10; Nurul Qaisara Sofia, 8 dan Muhammad Irfan Aryan, 6.

Akui Syura, biarpun sudah berpisah, beliau dan Mohd Fadhly masih kerap berhubungan untuk berbincang mengenai anak-anak.

“Dulu, ketika masih bersama bekas suami, saya buat semua persiapan. Memang banyak bezanya sekarang, dulu ada saja permintaan bekas suami yang teringin sesuatu yang istimewa.

“Namun, saya tahu, anak-anak merindui saat bersahur dan berbuka dalam keluarga yang sempurna,” katanya.

Setiap kali Syawal, agenda utama Syura adalah untuk membawa anak-anak berkunjung ke rumah bekas suaminya itu.

“Bekas suami tidak pernah abaikan anak-anak. Kalau cuti sekolah, dia akan datang ambil mereka. Saya tak pernah halang dia untuk jenguk dan ambil anak sebab mereka masih menjadi tanggungjawab dia.

“Setiap kali raya, kami pasti akan menjadi tumpuan adik-beradik bekas suami. Apabila ramai sanak-saudara, orang akan memerhatikan gelagat kami.

“Tetapi, saya dan dia sangat terbuka… Kami bukan berlakon atau ‘buat-buat’ baik sebaliknya sudah selesa,” katanya lagi.

Syura dan bekas suaminya membawa haluan sendiri sejak Ogos 2015 setelah sembilan tahun berkahwin.

Inilah yang patut dicontohi ramai pasangan yang melalui perpisahan seperti mereka; berbaik demi anak-anak dan tidak lupakan tanggungjawab meskipun tidak lagi mempunyai ikatan sah. -Kedahnews.com