SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia (SKMM) minta individu atau mana-mana syarikat yang menjual bahan letupan seperti mercun tidak memaparkan bahan terlarang itu di media sosial bagi tujuan promosi.
Timbalan Menteri Multimedia dan Komunikasi, Datuk Jailani Johari juga minta sesiapa yang terlihat portal atau promosi jualan mercun secara dalam talian agar dapat membuat aduan segera kepada pihak berkuasa.
"SKMM mempunyai portal, sebenarnya.my yang bertindak menyalurkan maklumat mengenai barangan yang dibenarkan dijual secara dalam talian.
"Jadi sesiapa yang masih tidak tahu barang apa yang boleh dijual dan tidak boleh dijual secara dalam talian bolehlah melayari portal ini.
"Ia penting kerana banyak barang terlarang seperti ubat-ubatan yang memerlukan kelulusan daripada pihak berkuasa dijual tanpa kebenaran dan ia sama dengan kes penjualan mercun secara dalam talian," katanya selepas majlis Berbuka Puasa Bersama Masyarakat di Parlimen Hulu Terengganu di Dataran Kuala Berang, di sini, semalam.
Jailani berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk menangani masalah berkenaan.
"Kemudahan penggunaan jalur lebar bukannya disediakan untuk memudahkan promosi bahan terlarang ini namun ada juga pihak mengambil kesempatan menjual dan mempamerkan mercun dan sebagainya untuk mendapat keuntungan cepat.
"Kami di kementerian menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli atau menjalankan urus niaga mercun secara dalam talian kerana kita sedia maklum tidak ada mana-mana individu diberi lesen atau dibenarkan menjualnya secara dalam talian kerana ia adalah barang terlarang.
"Saya juga menasihatkan pengguna supaya melapor dan merujuk kepada PDRM serta KPDNKK yang mempunyai bidang kuasa atas barangan ini," katanya.
Sumber: Harian Metro