Taktik Baru Sewa Lot Bazar Ramadan Di Jalan TAR Terbongkar


KUALA LUMPUR – Isu golongan individu menyewa petak bazar Ramadan yang disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada golongan peniaga di Jalan Masjid India dan Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini bukan sesuatu yang baharu malah berlaku sejak beberapa tahun.

Justeru, DBKL telah melakukan pelbagai insiatif bagi mengekang gejala tersebut, antara lain mengenakan kompaun RM1,000 kepada peniaga yang menyewa lot gerai mereka kepada pihak ketiga, merampas barangan serta nama mereka disenaraihitamkan daripada memohon lesen perniagaan.

Namun begitu, inisiatif yang diambil oleh pihak berkuasa itu gagal mengatasi masalah di dua kawasan itu umpama ‘pisang goreng panas’, bahkan individu yang memperoleh lot berkenaan jelas melanggar syarat ditetapkan dengan sentiasa mencari jalan untuk mengaut keuntungan atas angin.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff berkata DBKL tidak pernah mengenakan sewa tinggi malah kebiasaan pada kadar di bawah RM1,000 sepanjang bulan Ramadan.

Namum, katanya, peniaga yang tidak bertanggungjawab muncul setiap musim Ramadan di lokasi berkenaan dengan taktik baharu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Menurutnya, salah satu taktik terbaharu yang dikesan oleh DBKL ialah peniaga yang berjaya mendapat lot berkenaan akan mendaftar penyewa atau pihak ketiga sebagai pekerja atau pembantu bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

Katanya, taktik licik itu sukar dikesan namun DBKL telah menempatkan anggota penguat kuasa sepanjang masa di kawasan berkenaan bagi menangani masalah tersebut.

“Kami akan terus memburu mereka ini sebab agak keterlaluan mereka menyewakan tapak sehingga RM20,000 sedangkan kami (DBKL) sewakan tapak itu sangat rendah.

“Kami wujudkan peluang perniagaan di bulan yang mulia tapi mereka sanggup mengambil kesempatan dan ini yang yang membuat saya rasa kecewa,” katanya kepada Bernama.

Katanya, sejumlah 5,000 peniaga telah memohon untuk mendapat lot bazar di dua kawasan tersebut tetapi DBKL hanya dapat menyediakan 400 lot sahaja berikutan pelaksanaan projek ‘River of Life’ di kawasan berkenaan.

Difahamkan, dua kawasan tersebut menjadi rebutan golongan peniaga yang sanggup membayar sewa antara RM7,000 sehingga RM55,000 untuk berniaga di kawsan itu sepanjang Ramadan – BERNAMA