Tanya Bayaran Sebelum Bantu Mangsa Tidak Pernah Berlaku

  Image result for kemalangan tersepit

SHAH ALAM - Insiden pengendali kren bertanyakan bayaran terlebih dahulu ketika diminta membantu operasi mengeluarkan mayat enam sekeluarga yang rentung dalam nahas di Kilometer (KM) 25, Jalan Bahau-Keratong, Jempol, Negeri Sembilan pada Ahad lepas, tidak pernah berlaku sebelum ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, ini kerana kebanyakan bantuan dalam operasi penyelamatan diberi secara sukarela oleh pihak berkenaan.

Bagaimanapun kata beliau  pengendali kren masih boleh menuntut bayaran daripada JBPM sekiranya ingin berbuat demikian.

"Sebelum ini perkara ini (bertanyakan bayaran) tidak timbul kerana pengendali kren anggap bantuan yang diberikan sebagai CSR (tanggungjawab sosial korporat), mereka tidak kenakan bayaran.

"Kalau perlu bayaran kita akan selesaikan selepas operasi menyelamat. Memandangkan ini (kes kemalangan di Jempol) merupakan kejadian kecemasan, kita tidak sempat keluarkan letter of order (LO). Memang prosedur operasi standardnya begitu," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Ops Raya 2017 JBPM, di sini semalam.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar.

Mengulas lanjut, Wan Mohd Nor berkata sebelum ini pihaknya ada menggunakan khidmat pengendali kren dalam operasi penyelamatan dan bayaran diuruskan kemudian.

Media sebelum ini melaporkan pihak JBPM terpaksa mengambil tempoh agak lama untuk mengeluarkan enam mangsa yang rentung berkenaan berikutan tidak mendapat kerjasama beberapa pengendali kren yang keberatan membantu kerana tidak tahu pihak yang akan membayar perkhidmatan mereka.

Keadaan itu menyebabkan operasi menyelamat yang bermula jam 2.45 petang hanya berakhir pada 8 malam selepas pasukan penyelamat  terbabit mendapat bantuan trak tunda dari Bahau.

Dalam kejadian jam 2.20 petang itu, lapan maut termasuk enam sekeluarga yang rentung dan seorang cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan dan sebuah treler. - Bernama