Tempoh Reman Pegawai SPRM Didakwa Minta Rasuah, Dilanjut


BUKIT MERTAJAM - Tempoh tahanan reman ke atas seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa meminta rasuah daripada seorang pegawai polis di Pulau Pinang dilanjutkan dua hari mulai esok.

Majistret Nurulrasyidah Mohd Akit mengeluarkan perintah itu di lokap Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini hari ini.

Jumaat lepas, pegawai yang bertugas di Unit Risikan Zon Utara SPRM Putrajaya berusia 38 tahun itu ditahan di sebuah restoran di Taman Machang Bubok di sini, pada 10.20 malam dan direman tiga hari bagi membantu siasatan.

Dia ditahan sepasukan polis daripada Cawangan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) sejurus selepas dipercayai menerima wang sebanyak RM3,000 hasil pemerasan daripada mangsa.

Polis turut merampas kad kuasa, beg sandang, dua kelongsong peluru 9mm, telefon bimbit dan sebuah kereta Volkswagen daripada pegawai SPRM itu. - BERNAMA