Tender Hospital Pendang Dibuka Semula Pada September Ini - Pegawai Daerah

 
ALOR SETAR - Pegawai Daerah Pendang, Zaid Ahmad mendedahkan bahawa tender pembinaan hospital baharu Pendang bakal dibuka semula pada September tahun ini.

Menurutnya, sebanyak RM220 juta akan diperuntukkan bagi projek pembinaan hospital Pendang tersebut setelah projek pembinaan hospital berkenaan  tertangguh sejak sekian lama.

Selain itu, sebanyak RM20 juta peruntukkan tambahan telah disediakan oleh kerajaan persekutuan untuk menyediakan kemudahan yang lengkap dan selaras dengan arus permodenan masa kini.

Kemudahan yang bakal disediakan tersebut adalah demi keselesaan dan kemudahan masyarakat bagi memudahkan mereka mendapatkan perkhidmatan yang terbaik, begitu juga dengan perkhidmatan dari doktor pakar yang disediakan.

"Menerusi Mesyuarat Pembangunan Jawatankuasa Tindakan Daerah yang diadakan semalam pelaksana projek iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan tender akan dibuka pada September ini dan kerja-kerja pembinaan boleh bermula dua atau tiga bulan selepas itu.

"Harapan kami Hospital Pendang yang bernilai RM220 juta ini berjaya dibina selepas tender ini kerana tapak sudah tersedia di Kampung Banggol Pauh dan tinggal untuk membina bangunan sahaja, " katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan elaun kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung ( JKKK) di Dewan Cendrawasih di Pendang, semalam.

Selain itu, difahamkan bahawa hospital Pendang yang bakal dibina itu akan dilengkapi dengan 250 buah katil dan turut disediakan 11 kepakaran antaranya perubatan, pediatrik, pembedahan, ortopedik, kecemasan dan trauma, patologi serta radiologi. - Kedahnews.com