Terbuka Indonesia: Chong Wei Kandas Di Pusingan Kedua


KUALA LUMPUR - Pemain perseorangan utama negara Datuk Lee Chong Wei gagal ke peringkat suku akhir apabila dikejutkan dengan kekalahan di tangan pemain India H. S. Prannoy di pusingan kedua Kejohanan Terbuka Indonesia yang berlangsung di Pusat Konvensyen Jakarta, Khamis.

Dalam aksi perlawanan selama 40 minit itu, Chong Wei yang kini berada di ranking ketiga dunia, tunduk kepada Prannoy yang berada di ranking ke-25, 10-21 dan 18-21.

Kekalahan itu sekali gus menggagalkan misi pemain berusia 34 tahun untuk memburu gelaran ketujuh Terbuka Indonesia.

Chong Wei pernah muncul juara Terbuka Indonesia sebanyak enam kali iaitu pada tahun 2007, 2009, 2010, 2011, 2013 dan 2016.

Rekod pencapaian Chong Wei itu  menyamai rekod pemain lagenda badminton Indonesia Taufik Hidayat dan Ardy Wiranata.

Selain itu, Chong Wei juga merupakan pemain pertama bukan dari Indonesia yang memegang rekod kejuaraan Terbuka Indonesia terbanyak.-Bernama