KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengajak umat Islam supaya terus mengamalkan sifat sabar dalam mengharungi sebarang dugaan walaupun telah menghampiri penghujung bulan Ramadan.
Perdana Menteri berkata dugaan adalah satu ujian untuk menilai sejauh mana kesabaran dan keimanan di mana berpuasa pada bulan Ramadan sedikit sebanyak mendidik sifat sabar dalam hati dan diri individu.
"Menahan lapar dan dahaga sebagaimana yang dirasai golongan yang kurang bernasib baik memerlukan nilai kesabaran yang tinggi, begitu juga dalam melakukan ibadah sunat sepanjang bulan Ramadan.
"Bayangkan betapa mulianya sifat sabar ini apabila terdapat 43 ayat yang menjelaskan tentang kesabaran dalam al-Quran," katanya dalam catatan blog www.najibrazak.com.
Beliau berkata sifat sabar ini juga adalah satu sifat yang disukai oleh Allah SWT.
Najib, yang turut memetik kisah perjuangan Rasulullah SAW dalam memperjuangkan syiar Islam, berkata banyak cabaran, cacian dan tentangan yang baginda hadapi tetapi berkat kesabaran, Islam telah berjaya disebarkan.
"Justeru itu, saya harap sama-samalah kita mengambil inspirasi akan kesabaran Rasulullah SAW dalam menghadapi dugaan kerana Allah SWT telah menjanjikan kemenangan kepada mereka yang bersabar," katanya. - BERNAMA