"The Professor" Nelo Vingada Mesra Pemain


JOHOR BHARU - Kemesraan ditonjolkan pengendali baru Harimau Malaya, Nelo Vingada memberi kelegaan setiap pemain apabila mendekati dan memahami kehendak jurulatih dari Portugal itu dalam persiapan mengharungi Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan di Stadium Larkin, 13 Jun ini.

Hakikat itu diakui penyerang negara, Safee Sali yang jelas teruja dengan pendekatan Vingada kerana sering berkomunikasi dengan setiap pemain bagi mengetahui kehendak mereka sekali gus memudahkan tugas untuk melaksanakan program latihan.

Menurut penyerang PKNS FC itu, dia tertarik dengan pendekatan Vingada dalam sesi perjumpaan pada hari pertama beliau mengadakan latihan kerana lebih gemar berkomunikasi dan mendengar pandangan pemain.

“Selepas beberapa hari menjalani latihan di bawah kendalian Vindaga, saya rasa sudah dekat dengan jurulatih itu malah beliau jelas berpengalaman dan pendekatannya tampak mesra pemain.

“Beliau sudah melatih beberapa pasukan ternama dan rekod baik dimiliki bakal membantu bola sepak kita untuk meningkat.

“Sebagai pemain, saya dan rakan sepasukan bersedia memberi kerjasama untuk memantapkan skuad Harimau Malaya,” katanya.

Safee yang mendapat cap pertama bersama skuad kebangsaan ketika menentang New Zealand pada 2006 dan turut mencipta gol pertama antarabangsa dalam kariernya tampak mahu kembali konsisten untuk negara.

Katanya, perancangan Vingada tampak berperingkat dan lantaran memahami kebanyakan pemain berpuasa, sesi latihan tidak tertumpu kepada latihan berat, sebaliknya lebih terarah untuk membentuk persefahaman antara pemain.

“Saya jangkakan latihan taktikal lebih ampuh bakal dipratikkan sebaik 11 pemain Johor DT (Johor Darul Ta’zim) menyertai kem latihan esok (hari ini) untuk melengkapkan kesemua 26 pelatih skuad negara,” katanya. 

Sumber : Utusan Online