ALOR SETAR- DAP yang menjadi tulang belakang dalam Pakatan Harapan (PH), yang selama ini berdiam, sudah mula dilihat 'campur tangan' bagi menamatkan 'sengketa' berhubung cadangan siapa calon Perdana Menteri sekiranya menang pilihan raya umum akan datang.
"Pakatan Harapan belum buat keputusan lagi siapa bakal Perdana Menteri jika PH menang pada PRU 14, " kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng seperti mana yang dilaporkan Malaysiakini hari ini.
Difahamkan pemimpin parti yang bergabung dalam Pakatan Harapan akan mengadakan mesyuarat Jumaat esok, yang antaranya untuk mengumum dan memperkenalkan logo rasmi pakatan yang bakal digunakan oleh semua parti pada PRU nanti.
Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang bagaimanapun menyatakan tiada agenda calon Perdana Menteri akan dibincangkan pada mesyuarat ini.
Oleh kerana beberapa pemimpin tidak dapat hadir kerana masih berada di luar negeri, mesyuarat itu hanya merupakan satu 'mesyuarat biasa' sahaja, kata Guan Eng.
Dalam mesyuarat lepas, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan pakatan akan mengumumkan logo rasmi gabungan itu pada mesyuarat 9 Jun.
Dr. Mahathir semasa menghadiri satu persidangan di Tokyo, Selasa lepas memberitahu sebuah jurnal Jepun bahawa beliau masih bersedia untuk menjadi 'Perdana Menteri sementara' bagi pakatan jika tiada calon lain.
Dalam interbiu dengan sebuah jurnal itu, Dr Mahathir tidak menafikan beliau mungkin kembali memegang jawatan Perdana Menteri jika gabungan parti pembangkang bersetuju.
Mengulas perkara yang sama Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali menyatakan calon Perdana Menteri pakatan akan ditentukan oleh rakyat, bukan ditetapkan oleh individu atau parti.
Pakatan perlu dipekukuhkan dahulu untuk menghadapi PRU dan soal siapa Perdana Menteri bukan masalahnya, kata Azmin.
Isu bakal calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) menjadi rumit sejak penyertaan PPBM menyertai gabungan itu.
Sebelum ini, PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) dilihat tiada masalah mengangkat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri mereka. - Kedahnews.com