Tiada Lagi Masalah Air Di Kedah Menjelang Tahun 2020

Image result for Datuk Badrul Hisham Hashim

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah memberi jaminan akan menyelesaikan masalah air yang sering membelenggu penduduk di beberapa kawasan di negeri Jelapang Padi tersebut menjelang tahun 2020.

Antara kawasan yang kerap menghadapi masalah air adalah di Kuala Kedah, Pokok Sena dan Merbok.

Lima projek menaik taraf loji rawatan air yang dijangka disiapkan menjelang 2020 itu dikatakan bakal merubah nasib puluhan ribu penduduk di Kedah yang selama ini menderita akibat kekurangan bekalan air.

Pengerusi Jawatankuasa Pe­ru­ma­han dan Kerajaan Tempatan, Bekalan­ Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrul Hisham Hashim berkata, projek yang akan menelan kos  lebih RM600 juta itu bakal dijalankan tidak lama lagi sejurus proses mengeluarkan tender dilakukan.

“Kita telah mendapat kelulusan daripada kerajaan Pusat untuk menaik taraf lima loji rawatan air iaitu di Pelubang (Alor Setar), Bukit Selambau (Merbok), Kampung Sungai Limau (Baling), Lubuk Buntar Lama dan Jenun Baru (Yan dan Pendang) dengan peruntukkan lebih RM600 juta.

“Kerja menaik taraf Loji Rawa­tan Air Pelubang dijangka menyelesaikan masalah air di kawasan Alor Setar yang mengalami pembangunan pe­sat dari segi peruma­han dan komersial susulan pelaksanaan projek Terminal Perikanan Bersepadu Kedah di Kuala Kedah.

“Tender untuk ke­lima-lima projek me­naik taraf loji rawatan air itu dijangka dikeluarkan pada Julai ini dan dengan itu, saya percaya masalah air di negeri ini akan dapat diselesaikan menjelang 2020,” katanya selepas majlis Penyerahan Tong-tong Air Kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional di sini, semalam.

Sementara itu, majlis yang disertai wakil rakyat tersebut turut menyaksikan kerjasama antara kerajaan negeri Kedah dengan kerjasama Syarikat Air Darul Aman (SADA) mengagihkan sebanyak 1,000 tong air berkapasiti 900 liter air kepada rakyat negeri ini sempena Ramadan.

“Tong air ini telah diserahkan kepada ADUN BN di 16 kawasan sebelum diserahkan kepada penduduk yang kurang berkemampuan dan tidak mempunyai tangki simpanan air di rumah mereka.

“Kita sedar tidak semua rak­yat di ne­geri ini yang mampu untuk membeli tong sebegini, jadi diharap­kan pemberian bantuan dapat meringankan beban penduduk yang mengalami masalah bekalan air terutamanya menjelang musim perayaan ini,” ujarnya.

Dengan bantuan demikian diharapkan agar dapat meringankan bebanan bekalan air terganggu ketika musim perayaan dan turut menasihati penduduk agar membuat penyimpanan air sebagai persediaan awal.-Kedahnews.com