ALOR SETAR - Sebuah gerai di Bazar Ramadan Stadium Darul Aman yang menjual Teh Bunga Legend setiap kali Ramadan menjadi tumpuan pengunjung disebabkan keenakan minuman dan kehadiran ratusan lebah di gerai itu.
Tinjauan mendapati pelanggan sanggup beratur panjang kerana nak merasai keunikan rasa teh bunga dicampur madu yang diusahakan sejak 17 tahun lalu.
Menurut pemilik gerai Teh Bunga Beratur, Zaidi Zainol Abidin, 50, ratusan lebah mengerumuni gerainya disebabkan dia menggunakan madu sebagai bahan utama ramuan air teh bunga itu.
“Bukan saya yang bawa lebah ke gerai kami di bazar. Sebenarnya, lebah datang sendiri dan menghurung air sebab rasanya yang manis. Lagipun, saya letak banyak madu.
“Jangan risau, lebah-lebah ini jinak dan tidak berbahaya. Jadi, ia hanya hurung air dan tidak mudah menyengat pelanggan yang datang membeli air teh di gerai saya,” katanya.
Zaidi berkata, dia yang dibantu empat pekerja sudah lali dengan kehadiran serangga itu, dan mereka tidak terganggu dengan kehadiran lebah di gerainya.
Tidak dinafikan katanya, beberapa ekor lebah akan termasuk dalam minuman yang dijual RM2 sebungkus terbabit ketika mereka menuang air teh bunga dari balang ke dalam bungkusan plastik.
“Semua pelanggan yang beli air di gerai kami sudah biasa membawa pulang air teh bunga percuma ada lebah itu. Walaupun ada lebah, tetapi ia tidak berbahaya,” katanya.
Menurutnya, pelanggan hanya perlu menapis air teh dan membuang lebah yang masuk sebaik pulang ke rumah masing-masing, sebelum minum air tersebut seperti biasa.
Zaidi berkata, kehadiran lebah langsung tidak merencatkan perniagaannya, sebaliknya situasi gerainya dikerumun serangga menjadi daya tarikan pengunjung untuk membeli di kedainya.
Menurutnya, dia tidak menerima sebarang aduan dari pelanggan ataupun peniaga berdekatan berikutan kehadiran lebah mengerumuni gerainya setiap hari.
“Lagi banyak lebah, lagi ramai orang. Yang ada, pelanggan maklum terpaksa beratur lama dan panjang sebab nak beli air sahaja. Selain itu, memang tak ada. Kalau peniaga, mereka hanya adu pelanggan terlalu ramai, itu ja. ,” katanya.
Kata Zaidi, dia juga tidak menerima aduan lebah di gerai menggigit pelanggan sejak berniaga sekian lama di tapak itu, memandangkan serangga itu jinak.
Menurutnya, lebah yang mengerumuni gerainya tidak akan mengganggu sesiapa termasuklah pelanggan, dan ia berkemungkinan menjadi agresif apabila diganggu sahaja.
Katanya, dia mampu menjana pendapatan antara RM800 hingga RM900 sehari bergantung kepada pelanggan dengan menjual air teh seawal jam 3 petang hingga 7 malam itu.
Menurutnya, sambutan tidak putus-putus pelanggan menyebabkan dia perlu menghasilkan 20 ke 25 tong air teh bunga dicampur madu dan ramuan sendiri demi memenuhi permintaan mereka.
Kata Zaidi, dia tidak menang tangan melayan pelanggan yang sanggup beratur panjang dan lama semata-mata untuk merasai keunikan air teh tersebut.
Tambahnya, minuman terbabit habis setiap hari kerana mendapat sambutan baik kerana air teh bunga dihasil dan dijual sejak tahun 1990 lagi hanya boleh didapati pada bulan Ramadan semata-mata.
Sumber: Sinar Harian