Tiada Pengecualian Letak Tanda Harga Walau Berniaga Di Bazar - KPDNKK


IPOH - Semua peniaga perlu mempamerkan tanda harga barangan yang dijual termasuk mereka yang berniaga di bazar ramadan, kata Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak Suhaimi Mat Sari.

Beliau berkata tiada pengecualian dalam perkara itu dan mereka yang gagal mematuhi arahan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang menurut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 selain dikenakan denda sehingga RM100,000.

"Kita menasihatkan para peniaga supaya mempamerkan tanda harga pada setiap makanan atau minuman yang dijual di bazar ramadan," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan di bazar ramadan di hadapan Stadium Perak di sini, semalam.

Katanya orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1800 886 800 atau menghantar khidmat pesanan ringkas ke 15888 jika ingin membuat aduan.

Selain itu, Suhaimi berkata KPDNKK Perak turut menempatkan 230 pegawai di bazar ramadan di sekitar negeri bagi menjalankan pemantauan termasuk memeriksa harga barang yang dijual.

Katanya pemantauan itu turut melibatkan kerjasama daripada pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia , pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Kesihatan Perak. - BERNAMA