Tidak Berselindung Dalam Berkawan, Buatkan Perhubungan Makin Akrab


JARANG kita dengar ada dua selebriti wanita yang bersahabat baik dan kebanyakan daripada mereka memilih golongan biasa sebagai teman masing-masing.

Tetapi berlainan buat dua pelakon Rita Rudaini dan Izreen Azminda. Hubungan akrab mereka wujud kerana sikap gemar cakap lepas dan sentiasa bersikap jujur dalam berkawan.

"Pada saya dalam bersahabat kita perlu jujur dan keakraban saya dengan Rita berlandaskan kepada perkara itu.

"Banyak kali juga saya mengata di depannya dan apabila kita tak simpan apa yang kita rasa tentang sahabat kita, itu sebenarnya mengakrabkan lagi hubungan itu," kata Izreen.

Tambah Izreen lagi, dia selesa berkawan dengan Rita kerana boleh menceritakan apa sahaja tanpa perlu berselindung.

"Dengan Rita saya boleh bercakap hampir apa sahaja malah dia mengetahui semuanya mengenai saya dan sebaliknya.

"Seronok berkawan dengannya kerana dia juga sangat jujur dan sukar mencari seorang sahabat sepertinya," kata Izreen.

Dedah Izreen lagi, sepanjang Ramadan lalu, mereka sering berbuka puasa bersama-sama sekiranya tidak mempunyai sebarang kerja.


Kebiasaannya Rita akan masak juadah berbuka dan dia akan bertandang ke rumah pelakon itu untuk berbuka puasa.

"Buka puasa pun bersama tetapi Rita masak memang sedap jadi saya akan datang sahaja bawa diri untuk berbuka puasa dengan dia... haha.

"Tetapi yang seronoknya anak-anak kami juga sekarang sudah berkawan baik dan suasana sentiasa meriah melihat gelagat mereka," ujarnya.

Dalam pada itu, Rita pula memberitahu sepanjang bergelar pelakon dia tidak mempunyai ramai rakan wanita dalam kalangan selebriti.

Bagaimanapun dia mudah berbicara dengan Izreen malah tidak menganggapnya sebagai rakan artis.

"Mungkin juga faktor kami satu negeri (Perlis) membuatkan kami senang berkawan namun paling penting saya dan Izreen sekepala dan saya tak anggap dia selebriti pun tetapi sahabat saya.

"Saya sendiri tidak tahu apa akan jadi kalau salah seorang daripada kami bertemu jodoh terlebih dahulu. Apa agaknya akan terjadi pada persahabatan kami?," katanya.

Sumber : Mstar Online