KUALA LUMPUR - Jualan tiket bagi temasya Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 (Kuala Lumpur 2017) akan mula dijual selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri bulan depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) Kuala Lumpur 2017, Datuk Seri Zolkples Embong berkata MASOC telah menetapkan beberapa jenis sukan yang akan dikenakan tiket serta acara-acara yang tidak dikenakan bayaran.
"Acara sukan yang berlangsung di dalam dewan dan beberapa sukan popular akan dikenakan bayaran," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Inisiatif Hijau Kuala Lumpur 2017 yang telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan.
"Ia termasuk beberapa venue di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang mana venue berkenaan tidak boleh menampung jumlah penonton yang rama...jadi kita kenakan bayaran sebagai salah satu cara untuk mengawal penonton yang hadir," kata Zolkples.
Acara sukan yang tidak akan dikenakan bayaran tiket pula adalah sukan yang kurang popular seperti tinju dan angkat berat.
"Kita memerlukan sokongan daripada penonton untuk memeriahkan lagi acara sukan berkenaan dan jika kita kenakan bayaran, kemungkinan tiada orang akan memenuhi venue dan itu tidak mencapai matlamat asal kita," katanya.
Zolkples menjelaskan upacara pembukaan dan penutupan juga turut akan dikenakan bayaran kerana menurutnya upacara berkenaan bakal menyediakan persembahan yang hebat dan gilang gemilang.
"Jadi kita jangkakan ramai yang akan datang menyaksikan acara tersebut dan kita telah memutuskan untuk mengenakan bayaran," katanya. - BERNAMA